Bismillahi al-Rahman al-Rahim
Hari ini hari pertama dalam bulan disember 2019, aku kembali menulis. Sekian lama aku tak menulis di blog sejak tahun 2011. Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ni, aku mencari cari hala tuju dalam hidup. Apa yang aku nak buat, apa yang aku nak lihat untuk 20 tahun akan datang. Banyak yang aku cuba dalam hidup aku sepanjang 31 tahun ni, tapi banyak juga yang tak lekat. Dikala kawan kawan sebaya aku sedang berlari memecut ke tiang gol mengejar kerjaya dan cita cita, aku masih tercegat di tengah padang melihat dan cuba mencari jawapan kepada soalan aneh ini: "kenapa aku ada dekat sini?". Mungkin aku terlalu suka berfikir. Menyebabkan aku tak selincah orang lain dalam banyak perkara. Aku "slow".
Orang lain dah goal dua tiga kali, aku masih tak gerak gerak. Haha!
Aku adalah lepasan doktor perubatan. Lama aku belajar di luar negara, dekat tujuh tahun. Sepanjang aku belajar, aku sebenarnya masih ragu samada kerjaya doktor perubatan sesuai ataupun tidak dengan jiwa aku. Ragu tidak ragu, aku tamatkan pengajian dengan jaya pada tahun 2014, selepas enam tahun aku duduk di bumi Czech Republic. Satu tempat yang sangat asing, dan dalam tempoh yang sangat lama. Di sana bukan macam di sini. Mereka adalah ex-komunis dan kehidupan mereka tidak banyak berlumba lumba macam kita di sini. Mereka lebih humble dan lebih tenang. Mana tidak nya, di sana orang orang besar, pensyarah, penyelidik datang tempat kerja pun naik basikal. Tinggal pun di rumah flat sahaja. Tiada beza cara hidup dengan kita yang student ni.
Ni lah Prague. Ibukota Czech Republic.
Sepanjang aku belajar di Czech Republic, aku habiskan separuh masa aku untuk memahami kehidupan melalui pembacaan. Aku beli buku buku ekonomi, buku sains sosial dan belajar agama dari senior. Sikit sebanyak, pengalaman aku tinggal di sana dan buku buku yang aku baca telah mengubah pandangan aku tentang kehidupan. Aku mencari cari apa yang aku boleh buat untuk memberi kesan besar kepada diri aku dan masyarakat. Pemikiran inilah yang menjadikan aku "slow". Tapi slow tak slow, aku semakin dekat dengan jawapannya.
Salah satu tempat best di Czech Republic: kawasan pergunungan.
Tahun 2016, selepas aku berhenti berkhidmat dari KKM, aku masuk UKM. Sambung pengajian peringkat master, pengkhususan dalam bidang Public Health, Health Economics dan Hospital Management. Mulanya aku terjah sahaja. Duit yang aku ada baki baki ni, aku bayar yuran pengajian sem I. Alhamdulillah, siapa sangka, tak lama lepas tu aku dapat biasiswa dari kerajaan Amerika di bawah agensi USAID (United States Agency for International Development). Rezeki dari langit. Di UKM aku mula belajar epidemiologi secara serius, satu bidang dalam perubatan yang mengkaji penyakit dari sudut pandangan masyarakat. Di situ aku mula nampak ada satu penyakit ni, sangat sangat kerap berlaku di Malaysia, tapi tak banyak perhatian yang diberikan oleh semua orang:
Mental Disorder
30 peratus daripada rakyat Malaysia didapati mengalami sebarang bentuk masalah mental. Ya 30 peratus! Untuk negara yang ada 33 juta penduduk seperti Malaysia ni, 30 peratus bermaksud 3.33 juta orang! Itu tak cukup mengejutkan. Yang lebih mengejutkan ialah, kita hanya mempunyai 360 pakar perubatan psikiatri di negara ini. Sangat sangat tidak cukup! Aku tak pasti apakah punca kepada "gap" ini tapi aku yakin, kesedaran yang kurang daripada masyarakat tentang masalah mental dan stigma terhadap masalah mental menyebabkan orang sangat susah untuk berkongsi cerita dan mendapatkan rawatan. Di sinilah aku rasa amat terpanggil untuk menyelesaikannya.
Sebagai usaha aku meningkatkan kesedaran dan akses kepada rawatan psikiatri di Malaysia, aku kembali menulis. Aku kembali menulis dengan tujuan tulisan aku sampai kepada masyarakat. Aku bercita cita untuk menyampaikan maklumat pada orang ramai tentang kesihatan mental. Aku nak berkongsi rahsia gembira dengan mereka. Aku nak berkongsi cara mendapatkan rawatan mengikut cara yang berkesan. Aku nak mereka tahu yang rawatan boleh diakses oleh semua orang. Cita cita aku adalah untuk meningkatkan jumlah rakyat Malaysia yang mendapatkan rawatan. Itu cita cita aku! Aku berharap dengan kembali menulis aku dapat melangkah setapak ke arah tiang gol!
Abam Apis
Penulis Blog Rahsia Gembira
#RahsiaGembira



Comments
Post a Comment